Dua per tiga daripada umat Kristian di Malaysia merupakan penutur Bahasa Malaysia. Golongan ini — di bandar atau luar bandar, pribumi atau penghijrah, berbagai suku dan bangsa —  telah memperkayakan Gereja di Malaysia bukan sahaja dari segi jumlah dan angka, tetapi juga kepelbagaian dan kedalaman rohani.

Namun begitu, untuk skian lamanya, kita menyaksikan satu keperluan yang sangat mendesak untuk buku-buku, audio, bahan-bahan mengajar dan pemuridan untuk kanak-kanak, muda-mudi dan pemimpin yang berbahasa Malaysia.  Tidak kira di bandar mahupun desa, bahan pemuridan yang asas untuk kematangan rohani juga  sangat kurang dan susah untuk didapati.

Kami percaya berita kasih dan pengharapan Tuhan harus bergema dalam bahasa kebangsaan untuk menyentuh hidup suku-suku pribumi/ bumiputera dan penutur Bahasa Malaysia.

Wawasan Penabur yang ditubuhkan pada Januari 2009, bertujuan untuk berkerjasama dengan gereja-gereja BM di Malaysia bagi mengembang dan menyebarkan bahan-bahan BM yang terbaik untuk para pemimpin, gereja dan individu. Diilhamkan oleh pemimpin-pemimpin Kristian dari lintas-denominasi, Wawasan Penabur cuba bekerjasama dengan orang Kristian yang komited untuk melayani gereja berbahasa Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.