Renungan – Kisah Para Rasul 16:13-34

Mazmur 108:1-2
Hatiku siap, ya Allah,
Aku mau menyanyi, aku mau bermazmur,
Bangunlah, hai jiwaku.
Sebagai orang Kristian, kita sering membayang syurga sebagai tempat yang penuh berbatu kristal, lautan kaca, mahkota yang bermutiara serta malaikat manis yang sedang meniup sangkakala. Suasana indah dan alunan muzik syurgawi tentu membawa suatu kegembiraan yang luarbiasa bukan? Bagaimana pula bunyi di sekeliling syurga? Alkitab memberitahu kita bahawa syurga merupakan tempat yang penuh dengan muzik. (Wahyu 15:3) Dapatkah anda bayangkan berjuta-jutaan malaikat dan manusia sedang menyanyi kepada Tuhan yang mulia? Suasana syurga penuh dengan kegembiraan kerana mereka berada di hadirat Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Penyayang.
Kita pun boleh mengalami suasana syurga di dalam hati kita apabila hati kita selalu bersiap enyanyi dan bermazmur bagi Tuhan. Ranai orang tidak pernah menikmati keindahan syurgawi dalam jiwa mereka kerana mereka tidak bersiap sedia untuk bermazmur dan menyanyi bagi Tuhan. Daud selalu membangkitkan kerohaniannya dengan menyanyi dan bermazmur bagi Tuhan. Sewaktu menjaga domba, dia memainkan kecapinya dan menikmati keindahan Tuhan dalam jiwanya. Pernahkah anda menyanyi lagu pujian di bilik anda sendiri selain daripada puji-pujian anda di gereja?
Nyanyilah dan bangkitkan jiwa selalu bagi Tuhan. Anda tidak perlu menjadi penyanyi yang bersuara merdu untuk menyertai nyanyian bersama malaikat. Raja Sulaiman berkata, “Hati yang gembira membuat muka berseri-seri, tetapi kepedihan hati mematahkan semangat.” (Amsal 15:13) Perjalanan hidup seorang Kristian bukan perjalanan yang membebankan tetapi perjalanan yang riang. Anda boleh menyanyi dan membangkitkan jiwa kepada Tuhan.
Paulus dan Silas telah diseretkan dari pasar oleh tuan-tuan seorang budak perempuan yang menggunakannya untuk mengaut keuntungan melalui tenungan roh jahat. Paulus telah mengusir roh itu daripada budak perempuan. Tuan-tuan ini telah menyeret Paulus dan Silas dari pasar untuk menghadap penguasa. Mereka dilemparkan dalam penjara dan kaki mereka dibelenggu oleh pasungan yang kuat. Namun kebelengguan oleh rantai tidak bererti jiwa mereka sudah terbelenggu. Kira-kira tengah malam mereka berdoa dan menyanyi kepada Tuhan sehingga penjara bergoncang dan pintu terlempar luas. Cuaca muram dan kebelengguan rantai tidak memadamkan jiwa mereka daripada menyanyi kepada Tuhan.
Doa: Tuhan, biarlah keindahan syurgawi selalu memenuhi kalbuku sehingga perjalanan bersama-Mu menggembirakan hati aku.
Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar