Renungan – Roma 12
Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini,
tetapi berubahlah oleh pembaharuan budimu,
sehingga kamu dapat membedakan manakah kehendak Allah:
apa yang baik, yang berkenan kepada
Allah dan yang sempurna.
Roma 12:2
Puan Kiasu (bahasa Hokkien bererti ‘takut kalah’) tinggal berdekatan tetangga yang mementingkan daya saingan. Setiap kali jirannya melebarkan ruangan rumah, Puan Kiasu pun membongkar tembok rumahnya dan bersaing untuk mengubahsuai corak yang terkini. Apabila jirannya menukarkan gerbang pintu, dia pun mengikut sedemikian bahkan lampu gerbangnya mesti diimpot dari Itali. Maklumlah, dia tidak mahu ketinggalan sewaktu jirannya menggembar-gemburkan rumah mereka. Suaminya sungguh pusing kepala kerana sakunya sudah berlubang: dinding lama digantikan dinding baru, gerbang kuno ditukarkan gerbang cun, cat yang murahan digantikan cat mahal, apalagi kolam ikan dan rekaan bebatu dari Jepun. Tandas rumah mereka juga mesti mengikut corak tandas di hotel kerana tandas tetangganya baru diubah mengikut corak tandas hotel yang termoden.
Pada suatu pagi, sambil ibu ini melenggang tubuh yang dibalut fabrik mahal, dia berbisik kepada suaminya. “Apa? Memasang sauna di kamar mandi? Gilakah kamu? Ini kelab ke? Saya sudah menghamburkan begitu banyak wang demi otakmu yang kurang beres itu! Tolong bongkarkan otakmu itu dan gantikan yang baru!” “Abang ni tidak pandai menurut edaran zaman dan keindahan seni!”
Untuk memulakan perjalanan hidup yang baru, kita mesti terlebih dahulu membongkar fikiran kita agar Tuhan boleh memperbaharui budi kita dengan firman-Nya. Corak fikiran yang lama mesti dikikiskan dan yang baru digantikan oleh Tuhan. Hanya dengan yang baru, anda boleh menguji yang berkenan kepada Tuhan. Yang perlu dibongkarkan berasal dari dalam kerana dari dalam mengalir segala ‘pati’ kita.
Gaya hidup apakah yang kita ikuti? Sebagai anak Tuhan, kita tidak menurut cara dunia lagi, tetapi kita memperoleh pembaharuan daripada Tuhan. Kehidupan kita yang sederhana mungkin kelihatan aneh kepada orang lain tetapi yang kita pentingkan hidup berkenan kepada Tuhan. Janganlah turut corak fikiran dan gaya hidup dunia yang hanya mementingkan keangkuhan dan kemewahan hidup sahaja. Bongkarkah jalan fikiran dan kehidupan yang lama itu!
Doa: Tuhan, perbaharui fikiranku sehingga aku selalu menurut firman-Mu dan segala yang kulakukan itu berkenan kepada-Mu.
Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar
