RenunganYesaya 55:1-5

Ayo, hai semua orang yang haus, marilah dan minumlah air, dan hai orang
yang tidak mempunyai wang, marilah! Terimalah gandum tanpa wang
pembeli dan makanlah juga anggur dan susu tanpa bayaran!

Yesaya 55:1

embun-3

Dalam kehidupan ini, kita sering ditawarkan pelbagai tawaran menarik yang menjanjikan kepuasan dan kesempurnaan:baju yang cantik untuk mengubah imej seseorang, makan angin yang seronok, filem yang dibintangi oleh pelakon terkenal, jualan murah yang memampukan anda memenangi rumah di Bandar Utama. Tawaran ini tidak dapat dinikmati tanpa kita terlebih dahulu menghamburkan wang! Seorang gadis telah menghamburkan RM20,000 untuk memenangi motorsikal yang bernilai RM6,000. Dia kemudian menangis dan melaporkan hal ini dalam suratkhabar. Apa daya? Nasi sudah menjadi bubur, wang sudah bersayap.

Tuhan menawar roti dan minuman percuma yang memuaskan jiwa dengan sempurna.

Tuhan bersabda, “Mengapakah kamu belanjakan sesuatu yang bukan roti, dan upah jernih payahmu untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan? Dengarlah Aku maka kamu akan memakan yang baik dan kamu akan menikmati sajian yang lazat.” (Yesaya 55:2) Pencipta jiwa tahu cara memuaskan jiwa kita yang tidak dapat dipuaskan sumber yang lain. Tuhan Yesus berkata kepada orang yang mengikut-Nya bahawa mereka tidak mencari diri-Nya kerana mukjizat atau tanda-tanda, “Aku berkata kepadamu, sesungguhnya kamu mencari Aku, bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda, melainkan kerana kamu telah makan roti itu dan kenyang.” (Yohanes 6:26)

Roti yang diberikan Tuhan dapat memuaskan kita sehingga kita tidak kelaparan lagi. “Kerana roti daripada Tuhan ialah roti yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada dunia.” (Yohanes 6:33) Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti hidup; barangsiapa datang kepadaKu, ia tidak akan lapar lagi, dan barangsiapa yang percaya kepada-Ku, ia tidak haus lagi.” (Yohanes 6:35)

Roti, makanan, barang-barang yang memuaskan kita secara jasmani dapat dibeli dengan mudah. untuk memperoleh roti rohani, kita perlukan disiplin untuk mendalami firman Tuhan dan doa dalam kehidupan kita. Bagai anak kecil yang memerlukan kehadiran ibunya dan kata-kata daripada ibunya, kita pun perlukan bisikan Tuhan dalam kehidupan kita. Kita selalu memerlukan kehadiran Tuhan dan roti-Nya yang hidup melalui persekutuan yang intim bersama Tuhan.

Carilah Tuhan dan firman-Nya yang dapat memberi kepuasan kepada jiwa anda.

Doa: Tuhan Penciptaku, berikanlah aku roti dan air hidup yang dapat mengenyangkan aku.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar