Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku mencari Engkau,
jiwaku haus kepada-Mu, tubuhku rindu kepada-Mu,
seperti tanah yang kering dan tandus tiada berair.

Mazmur 63:2

embun-1

Tanpa secangkir kopi Muar sewaktu bersarapan, saya seakan-akan kehausan sepanjang hari. Setelah menghirup kopi harum, saya siap memulakan pekerjaan saya. Aneh tetapi nyata! Sekalipun saya sudah menetap di Petaling Jaya bertahun-tahun, ayah saya terus membekalkan kopi yang saya cintai ini. Sejak bilakah saya memupuk tabiat begini? Sejak kecil lagi, setiap pagi ibu saya menyiapkan mi goreng hitam, otak-otak dan kopi ‘O’ bagi saya. Inilah menu sarapan yang palng saya sukai hingga kini.

Pertanyaan yang perlu kita tanyakan kepada diri sendiri setiap hari ialah, “Adakah kita tidak akan bersarapan dengan Yesus?” “Tidakkah kau melihat saya begitu sibuk dengan anak-anak saya? Mana saya ada waktu untuk renungan harian dan doa?” Itulah jawapan yang saya terima daripada seorang suri rumah apabila saya bertanya tentang saat renungannya. Adakah urusan pekerjaan dan anak-anak menuntut perhatian kita sehingga kita tidak boleh bersarapan lagi dengan Yesus? Alangkah pilu hati Tuhan Yesus ketika mendengar jawapan seperti ini kerana Dia bersabda, “Pada-Ku ada makanan yang tidak kamu kenal.” (Yohanes 4:32)

Di tengah-tengah kesibukan kita, kita sering lupa berseru, “Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku mencari Engkau, jiwaku haus kepada-Mu, tubuhku rindu kepada-Mu, seperti tanah yang kering dan tandus tiada berair.” (Mazmur 63:2) Seruan seperti ini merupakan permulaan kehidupan rohani yang subur dan bebunga kerohanian akan bermekar setelah disirami embun pagi Ilahi.

Dalam Matius 4:4, Yesus bersabda manusia tidak sekadar hidup dengan roti sahaja tetapi kita juga harus bersantapan firman Tuhan. 2 Samuel 22:33 berkata Tuhanlah sandaran kita yang kuat dan dia membuat jalan kita rata. Hanya setelah kita mencurahkan secangkir berkat yang harum daripada firman Tuhan, baru kita bertenaga menghadapi cabaran hari itu.

George Muller, seorang tokoh yang menghirup secangkir syurgawi setiap pagi berkata, “Yakinlah, jika kau berjalan bersama dengan Dia dan bersandar pada pertolongan-Nya, Dia tidak akan menggagalkan engkau. Selaku seorang abang yang berumur empat puluh empat tahun, saya telah menulis nasihat ini untuk memberitahu engkau bahawa Dia tidak pernah menggagalkan saya. Dalam kesulitan yang terbesar, ujian yang terberat, dalam saat yang termiskin pun Dia tidak pernah menggagalkan saya. Akan tetapi ini disebabkan saya dimampukan oleh kasih karunia-Nya untuk mempercayai bahawa Dia selalu muncul untuk menolong saya. Saya gembira berbicara hal-hal yang manis tentang Nama-Nya.”

Kurakamkan
cinta kasihku kepada-Mu
pada keheningan pagi ini
Kurakamkan
duka laraku kepada-Mu
atas terang kasih-Mu
Kurakamkan
Berkat-Mu yang berlimpah ini
Atas kasih setia-Mu.

Doa: Tuhan, jiwaku haus dan tubuhku rindu akan Engkau. Tanpa secangkir berkat daripada Engkau, aku bagai tanah tandus.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar