Topik Kristologi menjelaskan tentang peribadi dan pekerjaan Yesus Kristus, manusia-Allah itu (theanthropos). Dalam teologi, Kristologi mempunyai satu kepentingan yang tak boleh dipandang remeh. Peribadi dan pekerjaan Kristus adalah fokus utama di dalam teologi Kristian. Namun begitu, kita lebih selesa membincangkan pekerjaan Kristus (apa yang dilakukan-Nya) daripada memahami peribadi Kristus (siapakah diri-Nya). Ini dapat dimengerti memandangkan misteri yang tidak dapat difahami dari kesatuan Allah yang tak terbatas dan manusia yang terbatas di dalam seorang peribadi. Semasa saya menulis buku ini, saya sedar bahawa jika kita memerlukan banyak usaha untuk menjadi ‘pakar Kristologi’ (Christologists), ia adalah dalam bahagian mengenali peribadi Kristus. Lagipun, bukankah sangat penting untuk kita mempunyai pandangan-pandangan yang betul tentang seseorang yang kita percaya itu ‘di antara sepuluh ribu orang’ (Kidung Agung 5:10)?

Rangka buku ini amat ringkas. Pertama, ia akan menerangkan tentang siapakah Yesus (peribadi-Nya). Kedua, ia akan menjelaskan secara ringkas apa yang Yesus lakukan (pekerjaan-Nya) sebagai nabi, imam dan raja dalam kedua keadaan-Nya yang direndahkan dan dipermuliakan. Para pembaca harus ingat bahawa fokus utama saya dalam buku ini adalah untuk membantu orang Kristian untuk lebih memahami peribadi, supaya dalam bahagian tentang pekerjaan-Nya akan menonjolkan hubungan organik antara pekerjaan dan peribadi-Nya. Akhir sekali, kita akan melihat tentang kemuliaan Kristus. Tujuan penebusan adalah visi orang percaya tentang kemuliaan Kristus. Visi ini merupakan suatu berkat sejati (atau ‘visi kebahagiaan’). Visi dan kemuliaan Kristus di dalam visi ini mempunyai satu hubungan organik dengan doktrin-doktrin mengenai peribadi dan tugas Kristus yang merupakan kemuncak bagi keseluruhan Kristologi. Kerana kajian tentang doktrin-doktrin mengenai Kristus ini akan membuahkan takut akan Dia dengan iman, maka tidak dapat dielakkan lagi, iman itu membolehkan kita melihat kemuliaan Allah yang tercermin pada wajah Anak-Nya yang terkasih (2 Korintus 3:18).

Harga: RM6