2016-embun-jan-4

RenunganLukas 6:12-16

Pada waktu itu pergilah Yesus ke bukit untuk berdoa dan semalam-malaman Dia berdoa kepada Tuhan.
Lukas 6:12

Saudara ingin berjalan seiring dengan Tuhan kita? Ikutlah contoh Tuhan Yesus yang berdoa selalu sekalipun Dia sangat sibuk. Di tengah-tengah kesibukan pelayanan dan keperluan yang mendesak dalam pelayanan, Dia berusaha menjauhkan diri daripada orang ramai untuk berdoa. Pelayanan yang sibuk mahupun urusan keluarga yang sibuk tidak boleh dijadikan alasan tidak berdoa. Orang Kristian yang tidak ada waktu berdoa seringkali tidak berjalan dekat bersama dengan Tuhan. Sewaktu Yesus memilih para murid-Nya, Dia berdoa bersungguh-sungguh dan hasilnya ialah keputusan yang terbaik. Sebelum Tuhan Yesus pergi ke kayu salib, Dia berdoa semalam suntuk agar Dia turut kehendak Tuhan sekalipun kematian-Nya dan cabaran-Nya sungguh pahit. Dia tahu pada saat itu, kekuatan syurgawi sangat diperlukan untuk mencapai misi yang diberikan kepada-Nya.

Kebanyakan orang di kota menjalani kehidupan yang sibuk ataupun berlagak terlalu sibuk. Sesetengah orang berfikir kesibukan menandakan betapa penting pekerjaan mereka. Hiruk pikuk kota memberi kesan bahawa kehidupan ini memang sibuk dan orang yang penting seperti kita tentu terlalu sibuk. Banyak orang Kristian tidak pernah mengalami titisan syurgawi dalam kehidupan mereka kerana sibuk menguruskan banyak hal dan lupa bahawa Tuhanlah yang terutama dalam kehidupan ini.

Walaupun Yesus mempunyai banyak pelayanan yang penting, Dia tidak tergesa-gesa sehingga Dia lupa berdoa.

James Montgomery, 1771-1854, telah memberi pelbagai metafora yang indah bagi doa. Doa menurutnya adalah “api yang terpendam,” “suatu tanda,” “airmata yang bergelinangan,” “mata yang menengadah ke syurga,” “nafas penting,” “udara alam.” Kenapakah orang Kristian sering tidak berupaya dan jatuh ke dalam dosa? Kalau kita bernafaskan doa, tentu kita akan hidup dalam kemenangan. Biarlah kita mengengadah dan melayang harapan kita kepada Tuhan setiap hari.

Sebelum tinggalkan bilik, jangan anda lupa berdoa. Doa menenangkan hati yang berbeban berat dan menukarkan malam menjadi siang. Ketika hati anda penuh dengan kemarahan, adakah engkau berdoa? Ketika anda berdukam, adakah anda berdoa? Adakah anda meminta kesabaran Tuhan agar anda boleh mengampuni? Ketika membuat keputusan penting, adakah anda berdoa semalam-malaman?

Doa: Kami mahu bernafaskan doa dalam kehidupan kami. Mata kami menengadah kepada Engkau Tuhan setiap saat dalam kehidupan ini.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar