RenunganLukas 18:9-14

Jadi siapa yang ada di dalam Kristus,
ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu,
sesungguhnya yang baru sudah datang.

2 Korintus 5:17

“Ajaib! Apakah yang sedang bergerak ni?” saya berseru ketika melihat binatang kecil yang sedang bergerak. Sungguh aneh, binatang itu terhias rerumput, kerang dan bebatu. Segera saya menangkap binatang itu dan memerhatikan rupanya dengan lebih dekat. “Oh, rupanya cik ketam yang berpakaian jubah indah!” Saya segera memahami ketam itu cuba memalsukan diri kerana takut akan serangan musuh. “Ya, di hutan Tropika juga banyak serangga pura-pura mengambil rupa bunga atau kayu kerana takut diserang musuh. “Nampaknya engkau seperti belalang jambu merah yang suka berpura-pura seperti bunga merah jambu ya,” kata saya seraya ketawa kecil.

Manusia juga bersikap seperti ketam yang seringkali memalsukan diri dengan identiti yang palsu. Carl Jung seorang pakar psikologi berkata topeng yang dipakai oleh manusia itu dipanggil ‘persona.’ Topeng ini dipakai untuk menyembunyikan diri kita yang sebenar. Benarkah kita sering memalsukan identiti kita yang sebenar? Kita takut diri kita yang berdosa ini diketahui oleh orang lain. Amboi, kita boleh membayangkan bahan-bahan yang kita pakai untuk menghiasi jubah rohani kita. Bahasa rohani yang tercurah daripada mulut orang Kristian bukanlah bukti kerohanian orang itu. Doa yang panjang lebar atau bahasa lidah yang tidak berputus-putus tidak semestinya mengalir daripada air kerohanian yang dalam. Sesetengah orang sekedar menanam tebu di bibir sahaja tetapi hati mereka jauh daripada Tuhan.

Untuk memulakan kehidupan rohani yang baru, kita perlu tanggalkan segala jubah palsu dan identiti tersembunyi di hadirat Tuhan. Pernah dua orang pergi ke bait suci untuk berdoa, seorang pemungut cukai dan seorang Farisi. Orang Farisi itu begitu bangga dengan diri sendiri di hadirat Tuhan. Dia memuji diri kerana berdoa banyak kali serta menderma kepada orang yang miskin. Si pemungut cukai mengakui dirinya seorang yang berdosa dan memerlukan Tuhan. Orang Farisi yang memakai topeng itu tidak diterima oleh tuhan tetapi pemungut cukai yang jujur diterima oleh Tuhan! Tanggalkan jubah palsu anda yang kotor itu dan berdiri jujur sahaja di hadirat Tuhan. Tuhan akan mengenakan yang baru dalam kehidupan anda sehingga anda menjadi ciptaan baru.

Jubah yang berdosa mesti ditanggalkan dan pertaubatan yang sungguh-sungguh akan mendatangkan sifat yang baru.

Doa:Aku tanggalkan jubahku yang kotor dan palsu untuk memeluk Engkau Yesus, Tuhanku.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar