RenunganMazmur 92

…untuk memberitakan kasih setia-Mu pada waktu
pagi dan kesetiaan-Mu pada waktu malam…

Mazmur 92:3

embun-sept-3

Seorang jiran saya yakin bahawa pil-pil spirulina dapat memberi kita kekuatan ajaib. Sewaktu saya sakit selesema, dia memberi saya sebotol air dan berpuluhan pil-pil spirulina agar saya dapat cepat sembuh! Dia menasihati saya banyak minum air dan menelan pil-pil vitamin C. Sebenarnya, saya selalu mengambil vitamin C dan Omega 3 untuk memperkukuh daya tahanan namun saya sungguh menghargai usahanya untuk menguatkan saya.

Setiap anak Kristian memerlukan kekuatan daripada Tuhan setiap hari. Sebutkan kasih Tuhan dan kesetiaan-Nya setiap pagi agar anda memperoleh kekuatan luarbiasa untuk menempuh hari yang baru. Beritahulah diri sendiri dan orang-orang di sekeliling anda bahawa kita mempunyai seorang Bapa syurgawi yang begitu mengasihi kita. Kasih setia-Nya dapat menolong kita menempuh segala yang baik dan yang buruk. Pada waktu petang atau malam, renungi kesetiaan Tuhan dan hitungkan kebaikan-Nya buat dirimu.

Benarkah anda tidak pernah menikmati kasih setia-Nya pada waktu pagi dan malam? Biarlah saya memberi anda suatu hal yang boleh menolong anda menyebut kasih setia-Nya. Bangun awal dan bersyukur atas keindahan terbitan matahari yang mewarnai langit, dan pada waktu petang sebutkan kasih setia-Nya ketika matahari terbenam. Sewaktu anda memercik air hening pada muka anda, bersyukurlah atas air yang diberi-Nya setiap hari. Ajarlah anakmu memuji Tuhan dengan memberi ucapan syukur atas berkat harian seperti air dan matahari serta perlindungan-Nya.

Thomas Chislom yang dilahirkan di Franklin, Kentucky selalu menyanyi akan kasih setia Tuhan dalam kehidupan hariannya. Beliau berkata, “Pendapatan saya tidak pernah besar kerana kesihatan saya terjejas sejak saya muda hingga kini tetapi saya tidak pernah gagal mencatatkan kasih setia-Nya yang mencukupi saya secara ajaib. Tuhan telah menunjukkan banyak keajaiban sewaktu mencukupi keperluanku dan telah memenuhi kalbuku dengan perasaan syukur.”

Apakah yang dikatakan Chislom lagi?

Thomas Chislom berkata, “Besar setia-Mu, Allah Bapaku, tiadak kekurangan dan tidak berubah, sempurna dan tetap selamanya. Besar setia-Mu, besar setia-Mu, tiap pagi nampak rahmat baru, segala kuperlukan telah Engkau sediakan, besar setia-Mu kepadaku. Matahari serta bintang dan bulan, menyaksikan kesetiaan Tuhan, musim menuai menyaksikan kasih setia-Mu.

Pengampunan dosa yang memberi damai,
kehadiran Tuhan yang menghibur,
kekuatan dan pengharapan tiap hari,
berkat yang berkelimpahan, kualami.”

Doa: Aku mahu selalu menyebarkan kasih setia-Mu kepada keluargaku dan teman-temanku.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar