Lagu ziarah,

Aku memandang ke arah pergunungan:
dari manakah pertolonganku?
– Mazmur 121:1-

Ramai kelompok dari pelbagai lapisan sosial masyarakat pada masa ini mengemari sukan lasak seperti mendaki bukit atau hiking. Antara motivasi kelompok penggemar sukan hiking adalah menikmati pemandangan yang indah sepanjang pendakian selain daripada menikmati masa berkualiti bersama rakan mendaki mereka. Walaupun mereka penat dan kemungkinan cedera, kepuasan akibat kejayaan pendakian akan menjadi pendorong untuk mereka mendaki bukit-bukit yang lain pada masa seterusnya. Demikianlah keseronakan yang dinikmati oleh mereka sepanjang proses pendakian tersebut.

Sementara dalam Mazmur 121:1-8 ini, mereka sedang dalam suasana mendaki gunung-ganang serta bukit-bukau semata-mata untuk menunaikan ziarah ke Bait Suci Yerusalem. Mazmur yang dinyanyikan secara bersahut-sahutan oleh bangsa Israel ini memiliki makna yang sungguh indah dalam usaha mereka mengharungi perjalanan panjang tersebut. Dalam bait nombor 1-2, ia merupakan pertanyaan para penziarah sementara nombor 3-8 adalah jawapan para imam kepada mereka. Kedua-dua bahagian ini iaitu pertanyaan dan jawapan mengandungi keyakinan iman yang sungguh murni terhadap penyertaan Tuhan di dalam hidup mereka. Mereka saling menyakini bahawa sesungguhnya pertolongan mereka datang daripada Tuhan. Keamanan hidup mereka bersumberkan perlindungan Tuhan setiap waktu, siang dan malam tanpa gagal (5). Semasa mereka baru bertolak dari lokasi-lokasi mereka di luar Yerusalem dan semasa mereka dalan perjalanan ke Yerusalem, Tuhan melindungi mereka sehingga masa tidur mereka di bukit-bukau dan gunung-ganang berbahaya tetap dilindungi oleh Tuhan (3-4). Tidak pernah sekalipun Tuhan membiarkan mereka diancam oleh bahaya dalam keadaan apa sekalipun di sekeliling mereka (6-7). Demikianlah Tuhan sungguh mengasihi mereka sehingga mereka dijaga dan dilindungi sepanjang masa.

Berapa ramai di antara anda yang sedang mengalami ancaman bahaya ketika ini? Adakah ianya berasal daripada kecuaian anda sendiri seperti hutang piutang bertimbun melebihi kemampuan kewangan anda, ancaman emosi dari rakan sekerja atau pihak atasan yang melihat anda mudah untuk di buli, atau juga anda yang mengalami tekanan akibat daripada tuntutan akademik di pusat pengajian dan sekolah. Terlalu banyak ‘gunung’ dan ‘bukit’ yang menjadi halangan dan cabaran hidup anda setiap masa dan sepanjang langkah kehidupan anda. Ada masanya anda merasakan bahawa anda tidak mampu ‘mendaki gunung’ dan ‘menikmati keindahan’ perjalanan anda kerana beban yang sungguh berat. Benar bahawa gunung masalah dan bukit ancaman itu tidak akan hilang, tetapi ketahuilah bahawa sepanjang pendakian mu mengharungi semua itu, Tuhan ada menyertai anda; menguatkan anda, meneguhkan iman anda, bahkan memberikan hikmat kepada anda untuk mengharungi segalanya.

Anda harus tetap berdoa dan beriman, tetapi juga berusaha melangkah dengan iman melakukan perubahan kerana tiada perubahan tanpa memulakan langkah pertama. Anda tidak akan dapat berganjak dari masalah, ancaman dan tekanan jika anda di posisi yang sama; anda harus memulakan langkah pertama. Jika sebelum ini anda memiliki hutang melebihi kemampuan kewangan anda, maka mulakan langkah pertama dengan mengurangkan perbelanjaan harian anda. Antaranya adalah membawa bekalan makanan dari rumah. Jika sebelum ini anda memiliki tuntutan akademik yang tinggi, mulailah melakukan tugasan anda lebih awal dan jadual belajar yang lebih sistematik. Jika anda menghadapi gangguan emosi akibat dibuli oleh rakan sekerja atau majikan, jangan berdiam diri tetapi usahakan mengumpul bukti dan laporkan kepada pihak berwajib seperti pihak polis ataupun jabatan buruh. Jangan hanya bertahan tapi tidak memulakan perubahan. Jangan biarkan ‘gunung’ dan ‘bukit’ masalah menutup iman dan pengharapan anda kepada Tuhan. Katakan bahawa “pertolongan ku datang dari Tuhan”.

 

“Tuhan ku yang tidak pernah lelah menjagaku,
Terima kasih kerana kesetiaan Mu menjadikan aku tetap bertahan sehingga hari ini.
Tuhan ku yang tidak pernah lepaskan ku dari dakapan Mu,
Terima kasih kerana kasih Mu memberikan kekuatan menghadapi hari-hari ku.
Tuhan ku yang tetap menuntun langkah hidup ku,
Terima kasih kerana amanku ada dalam perlindungan Mu.
Aku tetap mahu berseru memohon pertolongan hanya kepada Mu.
Aku tetap kekal beriman hanya kepada kuasa kasih Mu.
Pertolongan ku datang dari Mu,
Ya Tuhan ku.
Amin.”