embun-okt-19RenunganMatius 6:7-13

“…dan janganlah membawa kami ke dalam pencubaan tetapi lepaskanlah kami daripada yang jahat.”
Matius 6:13

Ketika murid-murid Tuhan Yesus meminta agar Dia mengajar mereka untuk berdoa, Yesus memberi contoh doa yang begitu mudah difahami:

Berikanlah kami pada hari ini makanan kami yang secukupnya
Ampunilah kami akan kesalahan kami seperti kami mengampuni orang lain
Janganlah membawa kami ke dalam pencubaan tetapi lepaskan kami daripada yang jahat

Saya pernah membaca sebuah cerita yang dituliskan oleh Mark Twain tentangkota Hadleyburg yang berprinsip teguh iaitu “Janganlah membawa kami ke dalam pencubaan.” Kota ini terkenal dengan kesuciannya dan kononnya kejujurannya. Pada suatu hari, kota ini menerima surat daripada seorang asing yang ingin membalas hutang budi kepada salah seorang warga kota yang tinggal di sana. Demikianlah alunan suratnya:-

Kepada penduduk Kota Haydleyburg,
 
Saya seorang asing yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung saya. Hati nuraniku tidak tenang sekiranya aku tidak bersinggah untuk membalas hutang budi seorang penduduk di sini. Dulu, saya seorang kaki judi yang tiba ke bandar anda dengan perut yang berkeroncongan dan dompet yang kerng kontang kerana kalah berjudi. Saya mengemis tetapi semua penduduk sangat kedekut namum seorang yang baik hati telah memberi saya RM20. Dengan dua puluh ringgit ini, saya membeli semangkuk Kari Laksa Sarawak dan sisa wannya telah menjadikan saya jutawan! Saya bertaruh sisa wang saya di meja judi Genting dan menang bertubi-tubi sepanjang malam itu. Sejak malam itu, saya sudah bersara.
 
Hati saya berasa berat kalau saya tidak menghadiahi orang yang murah hati itu dengan seguni duit. Dia boleh menggunakan duit itu dengan apa jua caranya. Entahlah dia mahu memberi kepada orang lain, membakarnya, atau membuang ke longkang, tak kisah! Pokoknya, dia mesti menerima hadiahnya. Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti; hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati…

Tentu saudara tahu apa yang terjadi kepada kota ini. Semua orang mahu seguni duit ini sehingga terjadi pelbagai kejahatan seperti pembohongan, pergaduhan, bahkan pembunuhan. Bak kata orang, “Di mana semut mati kalau tidak dalam gula.” Akhirnya prinsip kota Hadleyburg berubah menjadi, “Bawalah kami ke dalam pencubaan.”

Berhati-hati kalau anda berfikir bahawa anda boleh menentang pencubaan dengan mengandalkan kuasa sendiri. Hanya rahmat dan kekuatan Tuhan dapat mengalahkan kuasa sendiri. Hanya rahmat dan kekuatan Tuhan dapat mengalahkan kuasa pencubaan. “…marilah kita menyucikan diri kita daripada semua pencemaran jasmani dan rohani, dan dengan demikian menyempurnakan kekudusan kita dalam takut akan Allah.” (2 Korintus 7:1)

Doa:Kuatkanlah aku selalu khususnya ketika aku terpaksa menghadapi pelbagai pencubaan, ya Tuhan.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar