RenunganKejadian 4:1-16

…Ketika mereka ada di padang, tiba-tiba Kain memukul Habel, adiknya itu, lalu membunuh dia.
Kejadian 4:8

Di Malaysia terdapat sejens jenayah dosa ngeri iaitu membunuh lalu membakar mangsa sehingga wajahnya tidak dapat dicamkan. Pembunuhan dan masalah pembunuhan cukup membimbangkan masyarakat kita. “Seorang lagi dibunuh begitu kejam,” kata saya dengan hati yang berat. Pembunuhan terjadi kerana kedengkian, hawa nafsu, kecemburuan, kehampaan, pembalasan dendam, dan kemarahan.

Alkitab merekodkan pembunuhan pertama yang terjadi kerana kecemburuan.

Tuhan bersabda kepada Kain atas kemarahannya, ”Mengapa hatimu panas dan mukamu muram? Apakah mukamu tidak berseri, jika engkau berbuat baik? Tetapi jika engkau tiadk berbuat baik, dosa sudah mengintip di depan pintu; ia sangat menggoda engkau.” (Kejadian 4:6) Kain telah berasa begitu cemburu kerana Habel telah membawa persembahan yang lebih bijak dan berkenan kepada Tuhan. Hatinya tergoda membunuh Habel kerana perasaan panas baran. Pembunuhan, dosa yang ngeri bukan hanya peristiwa sekejap sahaja sebaliknya si pembunuh akan dihantui perasaan bersalah seumur hidupnya.

Pembunuh akan selalu diselubungi perasaan ngeri dan bersalah kerana darah mangsanya selalu berteriak kepada Tuhan dari tanah. Tuhan berkata kepada kain, “Apakah yang telah kauperbuat ini? Darah adikmu itu berteriak kepadaKu dari tanah. “ (Kejadian 4:10). Pembunuh selalu berasa takut, cemas dan waswas. Dia meremang ketika melihat bayangan sendiri.Bunyi jejak langkah orang lain selalu menyebabkan dia melangkah seribu. Dia menjadi orang pelarian sekalipun berada di negara sendiri. Setitis air yang jatuh ke atas kepala si pembunuh boleh mengejutkan dia. Hembusan angin pun bagai suara mangsa yang menderu di angin. Suara mangsa yang berteriak selalu menghantui pembunuhnya.

Sewaktu tertangkap, si pembunuh terpaksa menghadapi cemuhan ramai dan kamera wartawan yang datang bertubi-tubi. Nama keluarganya pun tercemar. Saat menghembus nafas terakhir, si pembunuh berasa lebih dekat dengan neraka daripada syurga. Bertaubatlah pada saat ini dan jangan biarkan sebarang dosa mengetuk di depan pintu kita. Jangan biarkan hawa nafsu mahupun kecemburuan menggoda hati sehingga pembunuhan terjadi!

Doa:Ya Tuhan, kasihanilah masyarakat kami yang semakin hari semakin terjatuh ke dalam dosa pembunuhan. Insafilah mereka yang mungkin terlibat dalam dosa yang keji ini agar bertaubat.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar