embun-sept-28RenunganMatius 11:25-30

Marilah kepada-Ku, semua yang menjadi letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.
Matius 11:28

Anak-anak kecil Malaysia memikul beg yang bagai batu besar ke sekolah. “Cikgu saya berkata semua buku ini diperlukan dan harus dibawa ke sekolah. Jadi saya mesti membawa beg yang besar ini ke sekolah,” kata seorang anak. “Aduh! Bagaimana kamu menaiki tangga dengan beg yang begini berat?” kata saya. “Entahlah tetapi saya Mr. Incredible,” jawab anak-anak kecil. Bayangkan anak-anak ini memikul beg berat ini sewaktu menaiki tangga hingga ke tingkat tiga. Sewaktu saya bersekolah di Sekolah Convent, saya selalu membawa buku mengikut jadual pelajaran yang disediakan oleh guru. Dengan beg yang ringan, saya mengayuh basikal dengan gembira ke sekolah. Sekalipun, saya berada di sekolah menengah, beg rotan saya tetap ringan walaupun tersimpan sebotol air dan sekotak mee hitam.

Syukurlah Tuhan tidak memanggil kita memikul semua beban untuk setahun atau sebulan. Seandainya Tuhan menyuruh kita menanggung beban sebulan atau setahun, kita pasti tersungkur di bawah keberatan-Nya dan tak tertahan rembesan airmata. Bayangkan, kita akan menjadi seperti kanak-kanak Malaysia yang begitu lelah dan terpaksa menghadapi cabaran harian serta memikul beban setahun! Beban hidup ini pelbagai jenis, kita perlukan belas kasihan Tuhan dan kekuatan-Nya untuk merempuh setiap hari.

Adakah anda kadangkala mengeluh sikap isteri atau suami yang tidak pernah berubah? Serahkan beban anda kepada Tuhan kerana Dia tidak mahu anda memikul beban yang berat. Seringkah anda menitis airmata kerana anak-anakmu degil dan tidak menurut nasihatmu? Jangan memikul beban itu kerana Tuhan bersabda, “Marilah yang berbeban berat…” Berdoalah agar Tuhan memberi anda kelegaan dan memberkati anak-anakmu. Bayangkan, bagaimana kita dapat berjalan dengan baik jika ada sebiji batu besar terikat pada bahu atau leher kita sewaktu berjalan. Beban berat ini boleh menjadi batu sandungan dan ikatan yang menghalangi pertumbuhan iman dalam kehidupan kita.

Saya masih teringat sewaktu Tuhan membimbing saya ke Indonesia untuk belajar. Pada waktu itu saya hanya mempunyai RM20 untuk menempah tiket pesawat dan membiayai yuran persekolahan. Saya melepaskan beban saya kepada Tuhan. Seminggu sebelum saya berangkat, Tuhan telah mencukupi lebih daripada yang saya perlukan bahkan pada waktu saya mahu pulang dari Indonesia, saya boleh dikatakan mahasiswa yang paling kaya! Saya memiliki buku-buku teologi, guitar dan buku-buku ceria Indonesia yang saya sukai!

Doa: Tuhan Yesus, hamba Engkau Martin Luther berkata dia hanya ada dua hari di kalendarnya, “hari ini” dan “hari itu” (Hari kedatangan Tuhan). Saya juga ingin begitu hidup untuk hari ini dan hari itu sahaja.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar