Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus.
– 1 Tesalonika 5:18

Jemaah di Tesalonika merupakan sebuah kumpulan jemaah Kristian yang seringkali mengalami penderitaan tetapi mereka sentiasa menjadi teladan iman kepada orang di sekeliling mereka (1 Tesalonika 1:5,6) dalam hal mengucap syukur. Rasul Paulus dalam surat ini memuji jemaah Tesalonika yang setia dalam pengajaran-pengajarannya mengenai kehidupan baharu sebagai orang Kristian sesuai dengan teladan yang Rasul Paulus tunjukkan kepada mereka semasa menghadapi tentangan dalam pemberitaan Berita Baik (1 Korintus 2:11-13) sehingga Rasul Paulus menyatakan bahawa jemaah di Tesalonika merupakan jemaah dari Tuhan yang sangat membanggakannya dalam hal keteguhan iman (1 Tesalonika 2:19-20). Rupanya, iman teguh jemaah Tuhan di Tesalonika tidak pernah luntur apabila Timotius yang diperintahkan oleh Rasul Paulus untuk memeriksa keadaan iman jemaah di Tesalonika melaporkan kembali kepadanya bahawa mereka tetap masih teguh iman kepada Yesus Kristus (1 Tesalonika 3:6). Sehingga akhirnya pada bahagian-bahagian akhir dari surat ini, Rasul Paulus memberikan beberapa nasihat kepada jemaah Tuhan di Tesalonika sebagai dorogan kepada mereka untuk tetap berpegang teguh pada iman di dalam Yesus Kristus. Dan satu daripada nasihat-nasihat itu adalah ‘mengucap syukur sentiasa dalam segala hal’.

Jika mengeluh adalah sebuah harta, maka sudah ramai manusia di dunia ini akan menjadi jutawan. Tetapi kerana mengeluh itu adalah sebuah ancaman kepada kesihatan hidup, maka ramai manusia yang akhirnya mengalami tekanan demi tekanan emosi lantaran sikap mengeluh mereka. Dalam erti kata yang lain, mengeluh bukanlah sebuah bentuk luahan emosi yang positif melainkan respon emosi yang negatif. Maka, wajarlah bagi Rasul Paulus untuk memberikan nasihat kepada Jemaah di Tesalonika untuk mengelakkan diri daripada bersikap mengeluh, melainkan sentiasa mengucap syukur dalam segala keadaan hidup mereka. Tindakan mengucap syukur yang disarankan oleh Rasul Paulus bukan sahaja merupakan nasihat seorang rasul tetapi sebenarnya itulah yang dikehendaki oleh Tuhan kepada setiap orang percaya kepada-Nya. Terlalu ramai kes bunuh diri akibat daripada kemurungan yang terjadi beberapa bulan ini, bahkan kes bunuh diri merupakan antara pembunuh senyap manusia sejak beberapa abad ini. Kemurungan mungkin sahaja boleh disebabkan oleh banyak faktor emosi, rohani dan mental seseorang. Tanpa memandang rendah mereka yang memiliki gejala kemurungan dalam hidup mereka, satu daripada faktor yang boleh memacu kepada kemurungan bermula dengan sikap suka mengeluh. Mengeluh merupakan respon dariapada sikap serta penaakulan yang negatif kepada sesuatu keadaan sehingga membentuk peribadi seseorang itu lebih bersifat negatif berbanding positif. Mengeluh terlalu banyak akan mengakibatkan sikap bersyukur seseorang itu menjadi kurang aktif. Sedangkan Tuhan menuntut kita untuk mengaktifkan sikap bersyukur dalam segala hal.

Banyak perkara yang akan menguji sikap hati kita untuk tidak mampu menunjukkan sikap bersyukur kepada Tuhan; kepahitan hidup yang ‘menerjang’ kita setiap hari, penolakan dan penindasan dari orang lain, bahkan ancaman nyawa setiap masa kerana iman kita. Tetapi tanpa limpahan syukur dalam hidup kita, maka kita sukar untuk menunjukkan sukacita. Seperti Amsal (7:22) berkata, “Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat”. Jika hati kita tidak memiliki sukacita, ia secara langsung mengakibatkan tubuh kita juga berisiko untuk tidak sihat. Jika tubuh kita tidak sihat, potensi diri kita untuk aktif sepanjang hari tidak akan baik dan akhirnya banyak perkara yang kita harus lakukan sepanjang hari akan terganggu. Jika anda bekerja dan kualiti kerja anda terganggu, selidiki semula sama ada anda memiliki sukacita dalam bekerja atau lebih banyak mengeluh. Jika anda melayani Tuhan tetapi tidak pernah merasakan damai sukacita, selidiki hati anda sama ada wujud kepahitan atau perselisihan faham dengan rakan sepelayanan atau bagaimana. Semuanya pasti ada saling kaitan dengan hal tidak mengucap syukur.

Milikilah hati yang mengucap syukur sentiasa dalam segala keadaan. Bukan hanya bersyukur pada waktu kesenangan, tetapi harus juga dalam waktu kesukaran. Sesungguhnya, saat kita mengucap syukur, kita bukan sahaja akan menjadikan diri kita lebih baik dalam pertumbuhan iman dan emosi, tetapi juga kita akan menjadi pemicu semangat kepada orang sekeliling kita untuk hidup mengucap syukur. Seperti Rasul Paulus yang terdorong oleh sikap teguh jemaah Tuhan di Tesalonika yang telah memberikan semangat kepadanya untuk terus melayani Tuhan (1 Tesalonika 3:7), maka kita juga mampu menjadi berkat kepada orang lain ketika kita memiliki sikap mengucap syukur. Kita menjadi teladan iman kepada orang lain bahkan kita akan membawa damai kepada orang lain serta persekitaran kita berada. Alangkah indahnya hidup yang membawa damai di manapun kita berada. Haleluyah!

Yesus Kristus, Raja Damai.
Jadikanlah aku kuat dan teguh hati dalam hari-hari ku;
bersyukur di saat kesenangan tetapi juga di saat kesukaran.
Yesus Kristus, Penasihat Ajaib.
Bimbinglah aku dan didiklah aku dalam setiap waktu ku;
menjadi teladan kepada orang yang memerlukan kekuatan dari Mu.
Taruhkanlah ucapan syukur dalam setiap hembusan nafas hidupku,
sesuai kehendak-Mu.
Amin.