embun-dec-14

RenunganKolose 1:3-14

Ketika hampir genap waktunya Yesus diangkat ke syurga, Ia mengarahkan pandangan-Nya untuk pergi ke Yerusalem.

Lukas 9:51

Ketika menghadapi kenyataan maut-Nya di kayu salib, Yesus menghadapinya dengan penuh ketabahan dan keberanian. Dia tetap mengarah pandangan-Nya ke arah kehendak Tuhan dan perjalanan yang disediakan oleh Tuhan. Perjalanan ke Yerusalem penuh kepedihan kerana ia akan diakhiri dengan penyaliban-Nya di kayu salib. Tuhan Yesus menunaikan misi-Nya dengan penuh ketabahan kerana Dia sudah berpegangan teguh pada misi-Nya dan mengarahkan pandangan-Nya ke kayu salib.

Apabila anda mengunjungi rumah sakit jiwa, pesakit-pesakit mempunyai cirri-ciri yang hampir sama. Kebanyakan daripada mereka telah kehilangan ketabahan dan kesabaran dalam kehidupan mereka. Kepedihan dan kepahitan telah mematahkan niat mereka untuk menempuh kehidupan dan kehampaan menyelubungi seluruh kalbu mereka. Mereka tenggelam dalam depresi yang menyebabkan perahu mereka terhanyut.

Seorang pemuda yang saya kenali telah berangkat untuk belajar Sarjana Hukum di salah sebuah universiti terkenal di London. Dia berangkat dengan penuh harapan dan semangat yang berkobar-kobar bahawa Sarjana Hukum sudah ada dalam tangannya. Dua tahun kemudian, sesuatu yang sungguh mengecewakan telah menimpa keluarganya. Bapanya telah meninggal dunia dan segala duit yang dipercayakan kepada abangnya telah dihamburkan oleh abangnya. Dia terpaksa menghentikan pelajarannya dan kembali ke Malaysia dengan tangan kosong. Perjalanan hidup yang pedih ini telah menyebabkan dia patah niat dan menderita sakit jiwa sehingga akal fikirannya terencat.

Saudara, jalan kita penuh dengan onak duri yang tak terduga. Dengan kekuatan Kristus yang sudah merempuh jalan yang penuh dengan kepedihan, kita akan menjadi pemenang luarbiasa. Tabah menghadapi segala yang tak terduga bersama dengan Tuhan. Jangan putus asa dan tergelincir dalam terowong depresi.

Doa: Tuhan, berikan aku kekuatan untuk menempuh jalan yang penuh dengan onak dan duri.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar