Maria berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yàng engkau katakan.”
Lalu malaikat itu meninggalkan Maria.
– Lukas 1: 38

Ketika Maria masih sedang bertunangan dengan Yusuf, dia tiba-tiba dihampiri oleh malaikat Tuhan. Lalu terjadilah perbualan yang panjang diantara Maria dan malaikat Tuhan. Malaikat Tuhan menyatakan kepada Maria bahawa dia akan mengandung dan kandungannya itu berasal dari kuasa Allah. Maka malaikat memerintahkan Maria untuk menamanya bayinya, YESUS. Lalu, dicatatkan dalam Lukas 1:38 bahawa Maria mengakui posisinya sebagai hamba Tuhan dan akan setia melakukan perintah seperti yangt telah dijelaskan oleh malaikat kepada-Nya. Pengakuan yang ditunjukkan oleh Maria ini merupakan sebuah kesetiaannya kepada Tuhan.

Kepatuhan Maria bermakna bahawa dia harus setia memikul peranannya sebagai hamba Tuhan yang telah dipilih oleh Tuhan untuk membawa sebuah misi yang akan mengubah banyak sejarah dunia; sejarah kerohanian seluruh dunia, sejarah politik dunia dan sejarah peradaban dunia. Yesus yang dilahirkan oleh Maria bukan sekadar seorang bayi tetapi apabila Yesus besar kelak, Yesus akan menjadi seorang peribadi yang menyelamatkan manusia dari hukuman maut. Manusia akan ditebus dari dosa kerana Yesus adalah Allah yang rela menjadi manusia untuk diam bersama manusia demi menebus dosa manusia (Yohanes 1:14). Tetapi, Maria akan menghadapi banyak cabaran sepanjang memikul tanggungjawab yang malaikat berikan kepadanya. Maria akan terpaksa berhadapan dengan cabaran hinaan dari orang ramai kerana mengandung sebelum bernikah. Maria juga akan berhadapan kesukaran menjelaskan hal yang dia sedang pikul kepada semua orang yang ada disekelilingnya. Tetapi, Maria disertai oleh Allah dan dia diteguhkan untuk menghadapi semua cabaran itu. Bahkan Yusuf, pasangannya akan setia bersama-sama dengan dia dalam menjalani tanggungjawab itu (Matius 1:1-25).

Bagaimana dengan kita sebagai kita sebagai anak-anak Tuhan yang dituntut oleh Tuhan untuk melayani Tuhan dengan segenap hidup kita seperti yang dicatatkan dalam Roma 12:1, “Saudara-saudaraku! Kerana Allah sangat baik kepada kita, aku menggesa kamu supaya mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya. Demikianlah seharusnya kamu beribadat kepada Allah.” Allah sangat baik kepada kita sehingga DIA memberikan Anak-Nya yang tunggal, demi menebus kita dari dosa (Yohanes 3:16). Maka, seharusnya kita memberikan diri kita kepada Tuhan untuk melayani-Nya dengan penuh kesetiaan! Kelahiran Yesus bukan sekadar sebuah peristiwa yang dunia raihkan dengan perayaan Krismas atau Natal, tetapi kelahiran Yesus telah menjadikan kita menerima pengampunan yang sempurna daripada Allah. Kelahiran Yesus menjadikan kita sebagai seorang hamba Tuhan yang mendapat tanggungjawab istimewa iaitu melayani Tuhan. 

Banyak cabaran yang akan kita alami dalam melakukan pelayanan Tuhan, tetapi satu daripada sikap yang boleh kita tanamkan dalam melalui cabaran-cabaran itu adalah dengan memiliki karakter KESETIAAN KEPADA TUHAN!

Tuhan ku, Yesus Kristus yang mulia,
terima kasih kerana Engkau telah datang ke dunia untuk menebus ku dari dosa dan maut.
Yesus Kristus, Penyelamat dunia yang Tunggal,
Kasih dan kesetiaan kepada-Mu,
itulah yang ku mahu dalam mengikuti-Mu dan melayani-Mu. 
Amin.