“Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segenap kekuatanmu.”

– Markus 12:30

 

Semasa menonton filem Maleficent: Mistress of Evil, antara babak akhir dari filem ini adalah majlis pernikahan diraja antara Puteri Aurora dan Putera Philip. Dalam babak tersebut, paderi yang mengendalikan upacara menyatakan ungkapan penuh hikmat yang menegur hati saya secara peribadi. Kata-kata itu adalah seperti berikut, “We are not defined by where we’re from, but by who we love”. Dalam terjemahan bahasa Malaysia, ianya boleh saja dituliskan seperti ini, “hidup kita tidak ditentukan dari asal usul kita, tetapi siapa yang kita kasihi”. Kata-kata ini sangat memiliki makna yang dalam bagi kedua pasangan dalam babak pernikahan tersebut tetapi juga memberi kesan kepada dua kerajaan yang bersatu hasil daripada sikap kasih yang ikhas dari kedua pasangan diraja ini. Sikap saling sangat membenci di antara satu sama oleh kedua kerajaan telah terhapus sama sekali ketika mereka melihat kedua pasangan diraja itu menunjukkan kasih sejati telah menyatukan kedua kerajaan.

Sikap mengasihi yang diamanahkan oleh Yesus kepada murid-muridNya dan kepada para pendengar ajaranNya yang dicatat dalam Markus 12:30 merupakan kasih agape yang lebih agung melebihi kasih yang dinyatakan dalam filem tersebut. Kasih agape merupakan kasih yang melibatkan komitmen, kesetiaan dan tindakan mengasihi yang disengajakan dengan berintikan kebajikan, niat baik dan kebahagiaan bersama semua pihak. Kasih agape itu sendiri berasal daripada Allah sehingga dapat dinikmati bukti kasih agape Allah itu ketika Yesus Kristus mati disalibkan demi menyelamatkan semua manusia. Kasih agape yang ditunjukkan oleh Yesus Kristus semasa disalibkan telah membuktikan kepada kita bahawa hanya kasih agape yang memberikan kehidupan kekal kepada semua manusia di bumi ini.

Maka, amanah Yesus yang dicatatkan dalam Markus ini sangat wajar dan harus kita laksanakan dalam kehidupan kita. Kita lebih dahulu dikasihi oleh Allah melalui bukti kasihNya iaitu karya salib oleh Yesus, lalu sekarang adalah giliran kita untuk dengan sengaja menunjukkan kasih kepada Tuhan Yesus di seluruh kehidupan kita. Mengasihi Allah merupakan dasar utama untuk segala dasar kasih yang kita lakukan dalam hidup kita. Seterusnya, kita di tuntut untuk mengasihi diri sendiri (Markus 12:31) dan ianya tepat untuk mengasihi diri sendiri dalam erti bahawa kita merawat hidup kita (tubuh, jiwa dan roh) dengan sebaik mungkin; antaranya menjaga kesihatan tubuh, mengendalikan emosi dengan baik dan mengisi kerohanian dengan firman Tuhan serta persekutuan dengan Tuhan dalam doa peribadi kita.

Pada prinsip kasih yang sama, Yesus juga memberikan amanah kepada kita untuk mengasihi sesama manusia (Markus 12:31) seperti kita mengasihi diri kita sendiri. Jika kita mengasihi diri kita sendiri dengan tidak memudaratkan kesihatan tubuh, jiwa dan roh kita, maka kita juga tidak harus memudaratkan kesihatan tubuh, jiwa dan roh orang lain. Jika kita mahu mengasihi orang lain, kita harus menunjukkan teladan dalam karakter hidup kita sebagai orang memiliki hidup baharu dalam Kristus. Jika kita mahu mengasihi orang lain, kita harus sentiasa siap membantu mereka dalam hal kebajikan mereka. Jika kita mahu mengasihi orang lain, beritakanlah kasih Yesus kepada mereka, kerana kasih Yesus itulah yang harus menjadi inti dari segala tindakan kasih kita.

Bentuk kasih yang kita berikan kepada diri kita sendiri dan kasih yang kita berikan kepada orang lain sesungguhnya akan memberikan damai atau mengundang tekanan dalam perjalanan hidup kita. Seperti yang dicatat dalam Injil Matius 5:9, “Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Allah akan menyebut mereka anak-anakNya!”. Kasih agape sentiasa membawa damai dalam kehidupan kita, bahkan memberikan sinar kebahagian kepada orang lain yang ada di sekeliling kita. Kita tidak tahu sepenuhnya apa yang mereka perlukan, tetapi Tuhan tahu keperluan mereka dan kita berperanan untuk menunjukkan kasih agape kepada mereka. Kita tidak tahu tekanan hidup yang mereka alami, tetapi tunjukkanlah kasih kepada mereka setiap masa. Kita tidak tahu pergumulan rohani yang mereka alami, tetapi hulurkanlah harapan dalam kasih agape kepada mereka sehingga mereka menemukan Yesus dalam kasih yang kita berikan.

 “Ya Tuhan ku, Yesus Kristus, terima kasih untuk kasih yang telah Engkau berikan kepadaku ketika Engkau mati disalibkan; semuanya adalah kerana Engkau mengasihi ku dan tidak mahu aku terjerumus di lembah maut. Terima kasih untuk kasih yang Engkau letakkan dalam hatiku; semuanya itu bukti bahawa Engkau adalah Bapa yang mengasihi kami dan kami anak-anakMu harus meneladani teladan kasihMu. Ajarkanlah aku untuk terus memiliki kekuatan untuk memberikan kasih agape kepada diriku sendiri, dan kepada mereka yang ada disekelilingku sehingga mereka menikmati damai di dalam dakapan kasihMu. Amin.”