“Jangan takut, Abram. Aku akan melindungi engkau daripada bahaya dan memberikan pahala yang besar kepadamu”.

– Kejadian 15:1

 

Selama manusia hidup di dunia ini, maka ketakutan demi ketakutan akan menyelubungi kehidupan; mungkin ianya adalah takut akan kehilangan seseorang yang dikasihi akibat kematian atau perpisahan hubungan cinta, takut menempuhi perjalanan hidup yang tidak jelas lantaran kekangan ekonomi negara, ataupun takut akibat dari sebuah peristiwa lalu. Bahkan, orang Kristian tidak akan pernah terpisah daripada memiliki ketakutan-ketakutan dalam kehidupan mereka. Ia adalah wajar untuk memiliki perasaan takut kerana ia adalah respon emosi dan fikiran kita terhadap hal-hal yang kita lalui setiap masa. Bahkan, tidak mustahil bahawa ada orang Kristian yang memiliki lebih ketakutan dalam kehidupan mereka berbanding mereka yang bukan Kristian. Namun, adakah ianya wajar dihadapi oleh orang-orang yang percaya kepada Kristus?

 

Kejadian 15:1 menjelaskan kepada kita bahawa Abram mendapat penglihatan dan mendengar suara TUHAN. Apakah yang ditakuti oleh Abram pada masa itu? Dalam bab 14, kisah Abram berperang dan berjaya menewaskan musuh raja-raja serta memiliki harta rampasan yang banyak. Tetapi, Abram merasakan semua harta itu tidak ada nilai tambah (extra values) baginya kerana dia tidak memiliki pewaris untuk segala hartanya itu (Kejadian 15:2). Isterinya Sarai juga seorang yang mandul dan Abram merasakan ketakutan ini meskipun memiliki harta yang bertimbun banyaknya.

 

Berapa ramai di antara kita yang bekerja keras, membanting tulang empat kerat untuk mengejar kesenangan hidup seharian? Berapa ramai di antara kita yang memiliki sumber pendapatan yang mencukupi tetapi masih memiliki ketakutan dalam hidupnya? Adakah kita menyedari bahawa kita adalah seperti Abram apabila kita tidak memiliki sesuatu yang kita perlukan, berbanding sekadar memiliki sesuatu yang kita mahukan? Sahabat sekalian, ketakutan terbesar dalam hidup kita sebagai seorang Kristian tidak seharusnya terletak pada masalah material sama ada kaya atau miskin, keadaan kesihatan yang tidak menentu ataupun keadaan politik negara yang tidak stabil. Ketakutan terbesar kita sebagai orang Kristian adalah apabila kita tidak memiliki iman yang kukuh dan kerohanian yang tidak sihat, tetapi masih mengaku Kristian.

 

Berusaha untuk menjadi lebih baik dalam status ekonomi kita baik; tetapi jika pekerjaan lebih utama daripada masa bersekutu dengan TUHAN, apakah kita berbangga atau seharusnya takut kerana melupakan persekutuan intim dengan Allah? Berusaha menjadi masyarakat yang baik itu harus dipuji, tetapi jika kita tidak menjadi teladan dalam kehidupan seharian kita bahkan lebih munafik daripada orang yang tidak beriman kepada Kristus, adalah kita merasa selesa atau takut apabila berhadapan dengan TUHAN dalam doa kita?

 

Seperti Abram yang dijanjikan oleh TUHAN untuk diberikan berkat keturunan berlimpah meskipun Sarai seorang mandul, maka TUHAN yang sama telah menjanjikan penyertaanNya kepada kita setiap hari dalam hidup kita. TUHAN akan mencukupkan segala keperluan kita menurut kekayaanNya di dalam Kristus Yesus (Filipi 4:19). Tetapi, sikap utama yang perlu kita lakukan adalah hormat dan takut kepada TUHAN, kerana melalui sikap ini kita akan dilindungi oleh TUHAN sepanjang masa.

 

“Ya TUHAN, ajarilah aku untuk menikmati persekutuan dengan Mu setiap masa dalam hidupku. Bimbinglah aku untuk menikmati berkat Mu dengan penuh syukur dan hormat akan Engkau. Sesungguhnya, hanya kepada Mu diri ku sujud hormat. Takut akan Engkau bererti aku patuh pada didikan Mu. Sesungguhnya, Engkau saja yang layak disanjung dan dimuliakan. Amin.”