embun-dec-21

RenunganMarkus 2:13-17

Kemudian Dia berjalan lewat di situ, Dia melihat Lewi anak
Alfeus duduk di rumah cukai lalu Dia berkata kepadanya,
“Ikutlah Aku!” maka berdirilah Lewi lalu mengikuti Dia.

Markus 2:14

Suatu hari Tuhan Yesus melewati rumah cukai dan terserempak dengan Matius lalu bersabda kepada Matius, “Ikutlah Aku.” Ajaib! Di rumah cukai pun, Tuhan memanggil pengikut-Nya yang kemudian menjadi tiang gereja awal. Siapakah yang akan sangka pecukai yang dibenci orang itu telah menjadi bapa gereja? Matius segera bangun dan mengikuti Yesus. Dia tidak berlengah-lengah dan berdolak-dalih, dia tidak berkata, “Tunggulah, masih ada banyak duit yang perlu saya hitung!” Dia segera bangun lalu mengikut Tuhan Yesus menjadi penjala manusia.

Demikian juga panggilan menarik tentang empat pemuda Australia yang telah melangkah bersama Tuhan ke Borneo. Ketaatan mereka kepada panggilan Tuhan telah menghentikan kepupusan suku-suku tertentu di Borneo.

“Biarlah mereka terpupus dari permukaan bumi ini,” teriak Raja Brooke ketika ditanya tentang masyarakat Lun Bawang yang suka berpesta-pesta dan bermabukan. Kehidupan orang dewasa dan kanak-kanak bagai nyawa-nyawa ikan kerana banyak minum dan berpenyakit. Tambahan pula, suasana rumah panjang yang kotor.

Menjelang pagi subuh, terlantar tubuh para pemabuk yang tidak bermaya di setiap sudut lantai rumah panjang. Yang lain asyik menelan tuak dari tajau yang besar. Perayaan ini akan berlanjutan beberapa hari. Masyarakat Lun Bawang terkenal dengan pesta mabuk yang berpora-pora. Mereka orang Borneo yang lama kelamaan akan terpupus dari permukaan bumi.

Fajar baru menyinsing ke atas mereka pada tahun 1933 dan 1938 apabila empat pemuda mentaati firman Tuhan. Empat pemuda ini, Frank Davidson, Carey Tolley, Hudson Southwell dan George Aitkin yang mengasihi Tuhan rela melangkah bersama Tuhan ke suku-suku pengayau yang dibiarkan terpupus sahaja oleh Raja Brooke. Apakah akibatnya bertahun-tahun kemudian? Dengarlah kesaksian mereka, “Mataku berkelinangan airmata apabila aku mendengar tua-muda, lelaki-wanita, dan kanak-kanak mengaku keinginan mereka untuk mempercayai dan mengikut Tuhan Yesus. Betapa merdu irama bahasa mereka apabila mereka menyebut nama Tuhan yang termanis dari syurga dan di bumi. Kata-kata mereka terngiang-ngiang di telingaku, “kai sikal harap ka Tuhan Isa.”

Mukjizat juga terjadi antara orang Kenyah. Orang Kenyah merobohkan patung-patung tinggi dan tiang tinggi yang melambangkan roh jahat. Seekor buaya yang dibuat daripada batu berkecaian. Batu ini dipercayai melindungi mereka pada zaman Jepun. Melihat lelaki dan wanita terlepas belenggu dan menyanyi menakjubkan jiwa Hudson.

Bangun dan segera ikut Yesus. Anda mungkin melangkah bersama Tuhan untuk mengubahkan sejarah sesuatu Negara, suku atau bangsa. Gereja SIB dilahirkan kerana empat pemuda Australia mentaati panggilan Tuhan.

Doa: Tuhan, panggilan-Mu untuk diriku mungkin akan mengubahkan nasib satu bangsa. Tolonglah aku mengikuti Engkau dalam pelayanan di dunia ini.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar