Ahli Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.” Yesus berkata, “Pergi dan berbuatlah sedemikian.” – Lukas 10:37 AVB

renungan-4Menolong orang lain bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Menolong adalah suatu tindakan yang menuntut tanggungjawab dalam hidup kita. Tidak ramai orang mahu bertanggungjawab untuk orang lain atau hal yang tidak berkaitan dengan diri sendiri, kerana itu kita lebih cenderung menjadi ‘bystander’; memperhati dan mengomen tanpa melakukan apa-apa. Suatu waktu sedang dalam perjalanan ke kuliah di seminari, saya ternampak rantai motor di atas jalan raya, namun saya tidak mempedulikannya walaupun terfikir ianya merbahaya untuk kenderaan lain. Tidak jauh dari rantai motor itu, ada sebuah motor ditunggang oleh sepasang warga tua berhenti. Rupanya rantai motor itu milik mereka. Teringin mahu menolong tapi takut terlambat ke kuliah, jadi, saya biarkan. Lukas 10:25-37 menceritakan dialog diantara ahli Taurat dan Yesus. Dalam dialog ini terkandung satu intipati penekanan mengenai sikap hati yang harus dimiliki oleh Kristian dalam masyarakat secara amnya. Ada 3 perkara menarik dapat kita pelajari dari teks ini.

1-Hidup yang kekal. Ahli Taurat menguji Yesus dengan satu pertanyaan,

“Guru apa yang harus kuperbuat untuk memperoleh hidup yang kekal?”

Pertanyaan ini sangat penting bagi orang Yahudi kerana ianya adalah ajaran Yesus yang selalu disebut. Dalam Perjanjian Lama, tidak ada frasa ‘hidup yang kekal’ yang jelas. Jika kita membuat rujukan silang, hanya ada beberapa ayat yang mengandungi kata ‘hidup’ atau ‘kekal’ tetapi bukan ‘hidup yang kekal’. Dalam Alkitab terjemahan Bahasa Malaysia, hanya dalam Yesaya 55:3 ada mengatakan tentang hidup yang kekal tetapi tidak dengan jelas,

“Sekarang dengarlah, hai umat-Ku; datanglah kepada-Ku, lalu kamu akan hidup. Aku akan mengadakan perjanjian yang kekal dengan kamu, dan memberi kamu berkat yang Kujanjikan kepada Daud.”

Apa yang dikatakan oleh Yesaya memiliki maksud yang sama dengan apa yang Yesus katakan tentang hidup yang kekal. Secara manusiawi, ramai Kristian berfikir hidup yang kekal itu bermaksud tidak akan mati, orang Dusun cakap ‘kabalan’. Kebal dari kematian. Sudah pasti secara harfiah kita mengerti dan menafsir seperti itu, tetapi itu tidak benar. Ada juga Kristian mengerti dengan suatu pengertian dimana setelah kita mati, roh kita akan bersama dengan Allah dan itu adalah hidup yang kekal. Ya, kita mempercayai perkara ini. Namun kita harus tahu, pertanyaan tentang hidup yang kekal oleh ahli Taurat ini adalah pertanyaan manusiawi, bukan soal supernatural. Ahli Taurat sukar untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan hidup yang kekal kerana baginya manusia tidak boleh memiliki hidup yang kekal. Jadi, apakah sebenarnya yang dimaksud oleh Yesus dengan dengan hidup yang kekal dalam siri dialog bersama ahli Taurat itu? Ianya tentang hukum Taurat.

2-Hukum Taurat. Ketika Yesus diuji dengan pertanyaan tentang hidup yang kekal, Yesus menjawab pertanyaan itu dengan sebuah pertanyaan yang sangat menarik,

“Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?”

Apa yang Yesus lakukan adalah sesuatu yang amat menarik perhatian kita. Yesus tidak memberi jawapannya tetapi mengajukan pertanyaan agar ahli Taurat memberikan jawapan untuk pertanyaannya sendiri.

‘Ahli Taurat itu menjawab, “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri.” Yesus berkata kepadanya, “Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan kamu akan hidup.’

Adakah jawapan ahli Taurat itu menjawab pertanyaan tentang hidup yang kekal? Sama sekali tidak, tetapi Yesus menyetujui jawapan ahli Taurat. Mengapa? Apakah yang sebenarnya Yesus ingin beritahu dengan ahli Taurat? Bahagian seterusnya dalam dialog antara Yesus dan ahli Taurat adalah bahagian yang susah untuk kita tafsir. Lukas mencatatkan ahli Taurat itu ingin membela dirinya. Selalunya apabila kita kita menguji seseorang dengan sebuah pertanyaan, pasti ada 3 tujuan: ingin mengetahui, ingin mencari kesalahan atau ingin menunjukkan diri kita lebih pintar. Apakah kerana ahli Taurat itu tidak memahami maksud Yesus atau sengaja tidak mahu mengalah dengan menanyakan soalan yang sangat remeh,

“Siapakah sesama manusia itu?”

3-Orang Samaria. Untuk menjawab pertanyaan ahli Taurat, Yesus menggunakan analogi provokasi kerana menggunakan 3 jenis individu untuk menjawab persoalannya: Ahli Taurat, orang Lewi dan orang Samaria. Mari mengenal 3 individu ini secara ringkas. Ahli Taurat juga disebut cendekiawan Yahudi adalah pakar dalam hukum Taurat yang bertanggungjawab untuk mengajar, menjelaskan apa itu hukum Taurat kepada orang Yahudi. Bahkan bertanggungjawab untuk menyusun peraturan untuk situasi kehidupan keagamaan Yahudi. Dengan itu mereka memiliki kedudukan yang sangat tinggi setaraf dengan imam besar dan penatua dalam masyarakat dan menjadi anggota dalam Mahkamah Agama (Sanhendrin). Orang Lewi adalah orang yang bertanggungjawab dalam tugas-tugas keagamaan orang Israel, juga dalam pendidikan dan politik. Malahan ada di kalangan mereka ditugaskan dalam penyembahan di bait suci, penjaga bait suci dan mengangkut barang-barang keperluan bait suci. Dengan erti kata yang lain, tugas mereka sangat penting. Mereka sentiasa memikirkan hal-hal agama dan melayani. Yesus membuat analogi dimana ahli Taurat dan orang Lewi tidak mempedulikan orang yang dirompak itu? Mengapa? Siapa pula orang Samaria? Orang Samaria adalah bangsa kacuk dari bangsa Israel dan orang dari Samaria pada zaman pembuangan ketika dalam pemerintahan kerajaan Asyur di Israel Utara. Setelah bangsa Yahudi kembali dari pembuangan, kempen kemurniaan keturunan Yahudi ditekankan sehinggakan mereka memandang negatif orang Samaria yang diangggap tidak kudus kerana tidak berdarah murni Yahudi. Bahkan ada satu ketika Yohanes Hirkanus menjadi pemimpin orang Yahudi, bait suci orang Samaria telah dihancurkan menyebabkan berlakunya ketegangan di antara dua bangsa ini. Tidak ramai kristian masa kini tahu dengan jelas siapa orang Samaria sebenarnya. Mereka digelar Samaria bukan kerana lokasi tertentu tetapi maksud Samaria iaitu Shamerim ialah penjaga, dimana pada zaman Musa, golongan Samaria kuno merupakan penjaga undang-undang Musa. Dalam analogi Yesus, orang Samaria adalah orang yang baik berbanding ahli Taurat dan orang Lewi yang dikenali sebagai orang agamawi.

Saudara-saudari yang saya kasihi, apabila kita kaitkan hidup yang kekal dengan hukum Taurat dan analogi sesama manusia dari perspektif tindakan orang Samaria, apakah yang kita dapat fahami? Hanya ada satu perkara yang dapat kita fahami iaitu memiliki kualiti hidup. Seringkali kita gagal menjadi kristian seperti apa yang Yesus ingini. Respon Yesus dan analogi Yesus berikan kepada ahli Taurat adalah satu teguran halus untuk menyedarkan sikap ahli Taurat sebagai orang agamawi – sibuk berdebat soal peraturan agama dan sibuk menyatakan dirinya lebih benar dari melakukan hukum Taurat yang diberikan Allah sejak mulanya. Dalam Kitab Ulangan, hukum Taurat ini berulangkali disebut kepada orang Israel. Yesus juga berulangkali menyebut tentang hukum Taurat ini. Setiap Kristian mengakui hukum Taurat tetapi lupa melakukan! Hidup yang kekal adalah kualiti hidup yang berlandaskan konsep mengasihi menurut hukum Taurat – mengasihi: Allah, sesama dan diri sendiri serta; dengan sepenuh hati, jiwa, kekuatan dan fikiran. Konsep ini juga berstruktur dimana kita harus kasihi Allah, kemudian orang lain barulah diri kita. Dunia sekarang telah memutarbelitkan konsep ini – mencintai diri sendiri sehinggakan tidak dapat mengenal kasih Allah. Mengapa? Sebab cinta kasih kita diantara Allah adalah sesama manusia. Jika bahagian ini hilang maka, kekristianan hanya mampu mengasihi sesama Kristian dan buta mengasihi orang yang tidak mengenal Yesus.

Kristian bukan ahli Taurat! Yang sibuk menguji sesama, sibuk membela diri benar! Sibuk melayani di gereja. Ladang Tuhan bukan di gereja, tetapi diluar gereja. Satu perkara yang menjadi pertanyaan saya ketika

‘Yesus berkata, “Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?” Ahli Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.”

Perhatikan jawapan ahli Taurat, kalau kita ditanya oleh Yesus, jawapan kita pasti ‘orang Samaria’, mengapa ahli Taurat tidak menyebut orang Samaria? Jawapannya mudah, ahli Taurat malu, kerana itulah hakikatnya kehidupan mereka pada zaman itu. Respon Yesus amat ringkas,

‘Yesus berkata, “Pergi dan berbuatlah sedemikian.”‘

Kristian pada masa kini bukan ahli Taurat! Kita adalah orang Samaria, orang yang melakukan hukum Taurat Allah iaitu mengasihi Allah, mengasihi sesama manusia dan mengasihi diri kita sendiri. Lakukanlah itu, maka Firman Tuhan menjadikan kehidupan kita berkualiti.

Shalom.