“Berusahalah untuk hidup rukun dengan semua orang”

Ibrani 12:14a

Menjadi warganegara sebuah negara, jika boleh kita ibaratkan keluarga dalam sebuah rumah; maka kita adalah sebuah keluarga yang menghuni sebuah rumah, tapi berbeza dalam banyak perkara. Tidak mungkin dalam sebuah keluarga, semua anggotanya memiliki karakter masing-masing; semuanya unik dan dinamik. Tidak mungkin juga sebuah keluarga itu akan sejahtera sentiasa; pasti ada perselisihan sekali sekala. Masyarakat sebuah negara juga ibarat sebuah keluarga; meskipun berlainan bangsa dan budaya, tetapi menghuni di sebuah tanah luas dengan keperluan masing-masing dan motivasi hidup masing-masing. Tetapi, adakah perbezaan itu harus bermusuhan dan saling membenci? Tidak mungkin, kerana Alkitab sendiri berkata bahawa semua manusia itu diciptakan dari keturunan yang sama iaitu Adam dan Hawa.

Agama boleh sahaja membuatkan iman kita berbeza, bahkan menilai sesuatu tindakan juga pasti ada kaitannya dengan agama dan kepercayaan. Tetapi, secara dasarnya tidak ada ajaran khusus dalam mana-mana agama mengajarkan pengikutnya melakukan kejahatan kepada orang lain. Bangsa mungkin sahaja menentukan karakter manusia hasil didikan adat resam, tetapi tidak ada bangsa yang mencintai kebencian dan mengajarkan kebencian kepada bangsa orang lain; ada yang mengajarkan itu bukan kerana adat resam tapi kerana perasaan individualisme mereka secara peribadi sahaja.

Kitab Ibrani mengajarkan banyak hal hidup manusia sebagai saksi teladan baik kepada orang yang ada di sekeliling kita. Ibrani 12:14a sendiri mengajak pembaca surat ini untuk hidup rukun dengan semua orang. Jika diteliti dari ayat 12, kita akan mendapati bahawa gesaan penulis kitab Ibrani adalah supaya, “kuatkanlah tangan yang lemah dan lutut yang gementar”. Benar bahawa maksud asal dari ayat ini adalah ajakan untuk umat Kristian meneguhkan iman rakan seagama agar tidak tersasar dari landasan iman mereka (lihat Yesaya 35), tetapi dalam tindakan praktik sosial pada masa kini, apakah kita yang memiliki iman teguh hanya mahu meneguhkan iman orang seagama? Bagaimana dengan orang sekeliling kita yang perlukan sokongan moral akibat kemiskinan dan layanan sosial yang tidak adil? Adakah Yesus mengajarkan untuk kita mengabaikan mereka? Yesus mengajarkan kita untuk mencurahkan kasih kepada sesama manusia. Oleh itu, sebagai orang yang memiliki keimanan kepada Yesus yang memiliki kasih kepada orang yang berbeza agama, marilah kita teladani karakterNya sehingga akhirnya kita membina sebuah lingkungan masyarakat kita yang rukun dan harmoni. Mungkin sangat mustahil untuk kita membangun terus keharmonian pada peringkat nasional, tetapi tiada yang mustahil apabila kita dengan sungguh-sungguh memulakannya dari sekitar hidup kita. Langkah pertama adalah sangat penting dalam membawa langkah-langkah masa depan.

Sesungguhnya masa depan bersama Yesus itu cerah dan marilah kita bersama-sama membawa terang itu keluar untuk dinikmati oleh orang lain.

Yesus ku, Tuhan yang Maha Pengasih,
Ajarkanlah mata ku yang melihat kebaikan di dalam semua orang;
agar aku tidak memiliki setitik kebencian pun kepada mereka.
Yesus ku, Tuhan yang Maha Pengasih,
Pimpinlah langkah aku menemukan insan sekeliling ku;
agar aku menabur kasih Mu kepada mereka tanpa menghakimi.
Engkau Tuhan yang mengasihi semua manusia;
tanpa melihat warna kulit dan bangsa.
Engkau saja yang termulia.

Amin.