embun-dec-28

RenunganYunus 2

Berdoalah Yunus kepada Tuhan, Allahnya, dari dalam perut ikan itu, katanya: Dalam kesusahanku aku berseru kepada Tuhan, dan Dia menjawab aku, dari tengah-tengah dunia orang mati aku berteriak, dan Kaudengarkan suaraku.

Yunus 2:1-2

Dalam terjemahan Alkitab Inggeris, Yunus berkata, “Ketika jiwaku pengsan di dalam diriku, aku berseru kepada Tuhan.” Pernahkah anda menderita begitu gawat sehingga seolah-olah jiwa anda pengsan? Anda seakan-akan jatuh dari tangga kemudian tertimpa tangga lagi. Anda bagai tangkai bunga yang layu kerana terlalu lelah menghadapi penderitaan.

Apabila Yunus masuk ke dalam perut ikan, dia berkata perut ikan itu bagai neraka yang gelap. Bayangkan dia berada dalam perut itu dengan rerumput laut yang meliliti kepalanya. Dia hamper pengsan tetapi Tuhan mendengar seruannya dan mengangkat dia dari kegelapan perut ikan lalu memuntahkan Yunus. Sekalipun Yunus sangat berdegil dengan kehendak sendiri sehinggalah terperangkap dalam dosa sendiri namun Tuhan tetap mendengar tangisannya.

Saya sering tertanya-tanya apakah yang akan terjadi kepada saya kalau saya kehilangan nenek yang paling saya kasihi sejak kecil. Mungkinkah saya akan terlalu remuk jiwa? Mungkinkah saya akan terlalu depresi sehingga cuaca muram akan selalu menghantui saya? Saya benci akan saat melihat mayat nenek saya terbaring kaku lalu dibakar sehingga menjadi dedebu.

Menyedari bahawa nenek saya semakin tua, saya berdoa agar Tuhan menyiapkan hati saya. Dalam kesusahan, aku berseru kepada Tuhan dan Dia menjawab aku. Ketika saya pulang ke rumah saya di Muar pada Tahun Baru Cina, Tuhan secara khusus berbisik bahawa nenek saya akan kembali kepada Tuhan selepas Tahun Baru Cina. “Usahlah kau pergi ke restoran untuk makan-makan bersama keluarga, tinggal di rumah dan menemani nenek yang uzur ini kerana Aku akan membawanya kembali,” kata Tuhan. Saya pun meluangkan lebih waktu di sisi nenek saya seperti yang diperintahkan oleh Tuhan. Pada akhir bulan itu, nenek saya dipanggil oleh Tuhan. Ketika itu jiwa saya hampir pengsan tetapi Tuhan mendengar seruan saya dan mengangkat saya sehingga saya tidak terjatuh ke dalam perut ikan yang gelap.

Saya teringat Yunus yang berada di bahagian perut yang tergelap dan ngeri. Dalam kesusahannya, dia berseru kepada Tuhan. Keluarga kami juga berasa kekuatan daripada tangan ajaib Tuhan sehingga kami dapat makan beramai-ramai di restoran selepas nenek saya pergi ke syurga!

Doa: Tuhan, pada waktu jiwaku hampir pengsan, Engkau mendengar seruanku dan mengangkat aku. Aku tahu Engkau selalu menopang saya ketka saya menghadapi ancaman ganas.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar