2016-embun-jan-21

Renungan2 Korintus 1:3-7

Terpuji Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa yang penuh belas kasihan dan Allah sumber segala penghiburan.
2 Korintus 1:3

Beberapa mahasiswa saya tidak pernah mengalami kasih sayang bapa kerana mereka ditinggalkan sewaktu masih anak hingusan. Dengan suara yang menyayatkan hati, seorang mahasiswa berkata, “Sampai hati, bapa saya tinggalkan kami adik-beradik untuk menderita sewaktu kami masih kanak-kanak.” Seorang lagi begitu sedih apabila dia teringat sewaktu bersembunyi di belakang tirai sambil melihat bapanya seorang penagih dadah mencari-cari ibunya. Ibunya telah melarikan diri daripada bapanya kerana dia tidak tahan penderitaan suaminya. Dia masih teringat suara kecilnya yang memanggil “Pa” pada waktu dia baru berumur empat tahun. “Bapa saya selalu memukul saya tetapi memanjakan adik saya. Saya sering terkilan apabila teringat perbuatan yang kurang adil, “kata seorang mahasiswa lain.

Betapa sayu hati saya ketika saya mendengar yang lain berkata, “Bapa saya mengangkat kaki apabila ibu menghidap barah. Sejak itu, dia membiarkan ibu terlantar dalam kesakitan. Ayah saya lenyap begitu sahaja.” Saya hampir tidak tahan titisan airmata ketika mendengar cerita mahasiswa saya yang bersifat ceria selalu.

Satu-satu hal yang menghibur hati saya ialah mereka semuanya anak Tuhan dan mereka berharap hanya kepada Kristus. Bahkan mereka dapat menjadi penghibur kepada mahasiswa lain yang berada dalam kesusahan. Mahasiswa yang ditinggalkan oleh bapa mereka ini sungguh peka terhadap penderitaan yang dialami oleh orang lain. Kepahitan tidak menelan mereka kerana Bapa Syurgawi jauh lebih sempurna! Mahasiswa ini sering mengunjungi rumah anak yatim untuk membagi-bagikan kasih mereka kepada anak-anak yang tidak pernah mengecapi kasih bapa duniawi supaya kasih Bapa Syurgawi dapat mengalir daripada diri mereka kepada orang lain!

Kepada Allah aku berharap
Di darat atau di laut yang gelap
Setiap saat waktu penat
Bapa Syurgawi memelihara aku

Walaupun jalanku jadi gelap
Juruselamatku tidak pernah lelap
Dipimpin-Nya aku pulang
Bapa Syurgawi memelihara aku.

Doa: Bapa syurgawi, terima kasih atas kasih Ilahi-Mu yang mengalir dengan berkelimpahan di dalam diriku.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar