RenunganKejadian 5:22-24

Dan Henokh hidup bergaul dengan Allah,
lalu tidak ada lagi, sebab itu telah diangkat oleh Allah.

Kejadian 5:24

embun-sept-2

Ayat dalam Kejadian 5:24 bagai bintang yang bersinaran cerah. Sekalipun penjelasannya tentang kehidupan Henokh sangat singkat tetapi ia cukup berkesan memberi kesaksian yang baik kepada generasi berikutnya. Terjemahan bahasa Inggeris berkata, “Dan Henokh berjalan dengan Allah, lalu tidak ada lagi, sebab itu telah diangkat oleh Allah.” (Kejadian 5:24) Henokh selalu dikenangi sebagai insan yang berjalan bersama-sama Tuhan selama-lamanya.

Sewaktu kita meninggal dunia, apakah yang kita mahu dikenangi oleh orang lain? Ingat, gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama ya.

Mahukah anda dikenangi: “Dan Encik Sam hidup mewah, selalu memakan yang lazat dan memakai yang bermutu?” atau “Encik Salim hidup sebagai kaki botol dan mati katak di longkang?” “Encik Loh hidup sebagai kaki judi lalu terburu oleh lintah buaya. Dia menjual anak isteri dan hilang selama-lamanya?” “Ricky hidup memburu wang yang tidak pernah cukup dan mati berdakapan sekantung duit di depan bank? Nama samarannya Ebenezer Scrooge, orang terkedekut yang terkenal.”

Sebaliknya, kita mahu, “Cik Ros hidup berkorban bagi negara sehingga titisan darahnya yang terakhir?” atau “Encik Salim hidup berjuang untuk orang miskin dan banyak rumah kebajikan didirikan oleh dia.” Tetapi yang terbaik ialah dikenali sebagai, “Cik Anatasia berjalan bersama dengan Tuhan sehingga dia mati atau diangkat Tuhan.” Kita dipanggil untuk berjalan bersama Tuhan seumur kehidupan kita sehingga saat kita menghembuskan nafas terakhir. Pertama, anda tidak mungkin dapat berjalan bersama Tuhan tanpa menjalin persahabatan yang akrab dengan Tuhan. Kedua, kita juga mesti mengingkari kemahuan dan kepentingan sendiri demi berjalan taat kepada Tuhan. Tuhan Yesus berkata sesiapa yang mahu mengikuti Dia, mesti rela memikul salib.

Janganlah berjalan sejenak tanpa kehadiran Tuhan. Kehidupan kita akan menjadi keharuman dan berkat kepada orang lain kalau kita berjalan terus menerus dengan Tuhan.

Doa: Tuhan, aku mahu berjalan dekat dengan-Mu setiap saat kehidupanku sehingga aku menghembuskan nafas terakhir.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar