embun-dec-07

RenunganYohanes 3:16

Dari jauh Tuhan menampakkan diri kepadanya: “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal, sebab itu Aku melanjutkan kasih setiaKu kepadamu.”

Yeremia 31:3

Bagaimanakah perasaan anda pada saat ini? Pernah saya terdengar seseorang bersungut-sungut bahawa dia berasa seakan-akan dia seorang asing yang hidup sebatang kara di kota ini. Suasana di Kuala Lumpur dingin sekalipun cuacanya sungguh panas. Berapakah orang di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya mengenal jiran mereka? Sesetengah orang rasa kurang berharga kerana tidak ada kekasih dan anggota keluarga yang terdekat di sisi mereka. Suasana di sini cukup berlainan daripada kampung halaman di mana kita bergaulan akrab.

Yeremia menyedari kasih Tuhan dan dia selalu terjamin dalam jwanya. Katalah kepada dirimu sendiri, “Begitu besarnya kasih Tuhan terhadap aku walaupun aku merantau ke kota dan berjauhan daripada keluarga demi menggali periuk nasiku.” Kasih Tuhan akan membawa makna yang baru dalam kehidupan anda sekalipun anda sebatang kara. Anda memerlukan kasih Tuhan yang dicurah tidak berhenti-henti dalam kehidupan anda jika anda mengalami kedinginan.

Satu pengkajian makmal telah dilakukan atas dua bayi untuk melihat akibat bayi yang tidak dikasihi. Seorang bayi didukung, dicium, dibelai, dan diberi susu dan seorang lagi diberi susu tanpa belaian kasih saying. Bayi yang tidak mengalami kasih sayang itu meninggal dunia walaupun disusui secukupnya. Kehangatan kasih sangat diperlukan untuk kehidupan yang sihat.

George Matheson (1842-1902) yang menulis lagu yang terkenal, “O Love That Will Not Let Me Go” (Kasih yang tidak akan melepaskan saya) menciptakan lagu ini ketika rencana perkahwinan yang tidak terjadi. Sewaktu dia hendak menikah, doktor berkata dia akan menjadi buta tidak lama lagi. Kekasihnya memberitahu dia, “Saya tidak mahu menjadi kekasih seorng pengkhutbah buta” lalu angkat kakinya. Walaupun hampa, dia sungguh terhibur kerana hanya ada satu kasih yang tidak melepaskan dirinya iaitu kasih Ilahi yang kekal.

Dia mengarang, “Kasih yang tidak melepaskanku
Ku bersandar jiwa yang lelah pada-Mu
Aku memberi jiwaku pada-Mu
Agar aku dapat menikmati kekayaan lautan-Mu…”

Doa: Kasih-Mu yang tidak pernah melepaskan aku menjadi satu-satunya penghiburan bagi hati kami yang lelah.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar