RenunganMazmur 42:1-6

Seperti rusa yang merindukan sungai berair,
demikianlah jiwaku merindukan Engkau, ya Allah.

Mazmur 42:2

embun-sept-1

Pernahkah anda dilandai oleh pelbagai mala rindu? Mereka yang pernah terpisah daripada keluarga, negara, atau kekasih tentu memahami ertinya rindu. Perasaan rindu boleh mendorong kita menelefon, e-mail, mengirim surat atau kad, dan mungkin SMS. Syarikat SMS begitu kaya kerana pemuda pemudi sering SMS kekasih mereka! Penulis Mazmur rindu akan Tuhan seperti rusa merindukan sungai yang berair. Tanpa perasaan rindu akan Tuhan, seseorang tidak dapat beribadah kepada tuhan dengan hangat. Ibadah kita boleh diibaratkan seperti cili padi yang tidak pedas samasekali. Kita beribadah tanpa kerinduan dan kehangatan. Mengapakah anda kekurangan kerinduan untuk Tuhan?

Ketika Annie Sherwood Hawks sedang menyapu rumahnya, tiba-tibanya dia menyedari kehadiran Tuhan. Perasaannya cukup terharu lalu dia berjalan ke jendelanya serta berbisik, “Bagaimanakan mungkin seseorang hidup tanpa kehadiran Tuhan pada awktu susah mahupun gembira?” Bagai rusa yang merindukan sungai berair, jiwanya tertusuk rasa rindu akan Tuhan apabila angin sepoi-sepoi menghembus lembut pada mukanya. Perasaan gembira menyelubungi kalbunya ketika melihat matahari bersinaran terang dan burung-burung berkicauan. Dalam keriangan tersemai kasih dan rindu akan Tuhan. Sealunan perkataan melintasi fikirannya, “I need Thee every hour” iaitu “Aku perlukan Engkau setiap saat.” Dia mengambil secebis surat dan mengarang sebuah lagu kepada Tuhan yang mencurahkan kerinduannya akan Tuhan:

 

Aku perlukan Engkau setiap saat
Tuhan yang berbelas kasihan
Tiada suara lain selembut bisikan Engkau
Yang membawa damai

Aku perlukan Engkau (2x)
Setiap saat aku perlukan Engkau
O berkatiku, Juruselama
Aku ke hadirat-Mu

Aku perlukan Engkau setiap saat
Gembira atau susah
Datanglah segera dan tinggal
Atau hidup ini akan sia-sia.

 

Kehadiran orang istimewa dapat mencerahkan saat sepi dalam kehidupan apalagi kehadiran Tuhan Pencipta kita. Di tengah-tengah ketandusan dunia ini, bagai rusa yang merindukan air berair, kita juga rindu akan kehadiran Tuhan setiap saat. Bisikan dan penghiburan-Nya yang menyegarkan dapat menguatkan kita pada saat gembira atau susah.

Doa: Tuhan Penyayang, aku perlukan Engkau setiap saat dalam kehidupanku.

Dipetik dari “Embun Pagi” oleh Cik Tan Hwee Yong dengan izin penulis. Sumber Gambar